Sosilawati dan tiga individu lain yang dilaporkan hilang
Gambar terakhir Datuk Sosilawati Lawiya bersama anak-anaknya sebelum beliau dilaporkan hilang pada 30 ogos 2010
Suasana rumah Sosilawati yang sunyi sepi di Taman Harmonis, Gombak
Berikut merupakan kronologi pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya bersama tiga individu lain..
6 September 2010
Media melaporkan Datuk Sosilawati Lawiya, 47, hilang sejak 30 Ogos lalu selepas urus niaga pembelian tanah di Banting bersama peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32; pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38 dan pemandunya, Kamaruddin Shansuddin, 44. Sosilawati dikatakan membawa RM4 juta bersamanya.
7 September
Dua kereta BMW, masing-masing dengan nombor pendaftaran WTL 11 dan AAJ 5, milik Sosilawati dan Ahmad Kamil ditemui. Kereta Sosilawati ditemui di Apartmen Angsana, Taman Subang Mewah, Subang Jaya; manakala kereta Ahmad Kamil ditemui di hadapan Hotel Dorsett di SS12, Subang Jaya.
Keluarga Sosilawati menafikan mangsa membawa wang RM4 juta.
8 September
Polis melaporkan Sosilawati dan tiga individu lain masih dalam negara. Sosilawati mengunjungi kedai Fazz Enterprise Kerepek House di Kampung Sungai Lang, Banting pada jam 4 petang, 30 Ogos lalu.
Noorhisham pula menghubungi isterinya untuk memaklumkan beliau tidak akan pulang tiga hari melalui telefon pada malam 30 Ogos.
9 September
Media melaporkan Sosilawati disembunyikan di lokasi rahsia oleh kumpulan tertentu kerana perselisihan perniagaan dan kewangan.
10 September
Kehilangan Sosilawati dilaporkan didalangi seorang ahli perniagaan bergelar Datuk.
Polis menahan lima suspek berhubung kehilangan empat mangsa itu.
11 September
Polis menemui lokasi empat mangsa itu dibunuh dan mayat mereka dibakar di sebuah ladang di Teluk Gadong berhampiran Tanjung Sepat, Banting. Polis menahan ahli perniagaan bergelar Datuk dan adiknya.
Polis mengesahkan Sosilawati, Ahmad Kamil, Noorhisham dan Kamaruddin dipukul sampai mati, mayat mereka dibakar di Ladang Gadong, sebelum abunya dibuang ke dalam sungai. Polis menahan seorang remaja berusia 19 tahun.
12 September
Pasukan Polis terpaksa menggunakan khidmat Pasukan penyelam Polis Marin bagi menjalankan kerja menyelam di Sungai Panchau, Kampung Kanchong Laut, di sini, untuk mencari bahan bukti kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya, 47, dan tiga orang lain.
Pasukan polis dilihat memeriksa bahan yang kelihatan seperti tulang berwarna kelabu kehitam-hitaman.
13 September
Penahanan suspek utama dalam kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, juga dipercayai dapat membantu polis merungkai empat lagi kes seumpamanya sebelum ini.
Mangsa dipukul hingga mati sebelum dibakar
Turut ditahan yang disyaki suspek utama, seorang peguam yang juga ahli perniagaan bergelar Datuk dan adiknya, juga seorang peguam serta enam pekerja mereka. Semua mereka ditahan reman sehingga 18 September ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin, mengesahkan semua suspek disyaki terbabit dalam pembunuhan empat mangsa itu dan menegaskan lebih banyak tangkapan akan dibuat dalam tempoh terdekat.
“Mereka mengaku melarikan, memukul hingga mati dan membakar keempat-empat mangsa sebelum menabur abu mayat di sungai berhampiran dengan tujuan menghapuskan bukti, termasuk barangan peribadi mangsa dan senjata digunakan,” katanya.
Mohd Bakri berkata, walaupun tiada mayat ditemui, namun pengesahan dibuat berdasarkan pengakuan suspek yang ditahan.
14 September
Senjata berbentuk cangkuk sepanjang 30 sentimeter dikatakan digunakan untuk membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain sebelum mangsa dibakar dan abu mayat mereka dibuang ke dalam sungai di Ladang Gadong, Tanjung Sepat di sini.
Perkara itu didedahkan salah seorang suspek berusia dalam lingkungan 20-an semalam, yang turut membawa polis ke tempat senjata berkenaan dan beberapa barang peribadi mangsa dibuang di bawah jambatan Sungai Kanchong Laut.
Semoga Allah mencucuri rahmat ke roh mereka yang telah dibunuh dengan kejam dan mereka yang terlibat akan disabitkan kesalahan dan duhukum dengan setimpalnya.
15 September 2010
Jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain yang bersamanya, dikatakan dibunuh, kira-kira jam 10 malam, 30 Ogos lalu, iaitu pada hari sama keempat-empat mangsa dilaporkan menemui seorang peguam bergelar Datuk di Banting, Selangor, untuk urusan jual beli tanah.
Perkara itu didedahkan suspek hasil soal siasat yang dilakukan polis, sekali gus menolak teori kononnya Sosilawati, 47, pemandunya, Kamaruddin Shansuddin, 44, peguamnya, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pegawai CIMB Bank cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohamad, 38, masih hidup selepas tiga hari kehilangan mereka dilaporkan.
Menurut sumber, kira-kira dua jam sebelum dibunuh dan dibakar di Ladang Gadong, Tanjung Sepat, Banting, Noorhisyam dipaksa menelefon isterinya, Suzana Radin Pangat, 38, bagi memaklumkan beliau akan pulang selepas tiga hari. Sosilawati dan dua lagi mangsa pula tidak dibenarkan menelefon keluarga masing-masing kerana kumpulan penjenayah itu percaya maklumat yang disampaikan Noorhisyam akan disebarkan kepada semua keluarga mangsa terbabit.
Unit Forensik Polis hari ini menemui beberapa lagi objek yang dipercayai bahan bukti kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi lelaki lain di Sungai Panchau di sini.
Polis yang memulakan operasi pada jam 3.30 petang ini dilihat membawa beberapa objek termasuk satu bungkusan yang kelihatan seperti tulang di dalamnya.
Usaha pihak media untuk menghampiri kawasan itu bagi melihat dengan lebih jelas operasi itu gagal berikutan kawalan ketat dan media hanya dibenar berada kira-kira 100 meter dari kawasan itu. Operasi itu berakhir pada jam 5.30 petang.
16 September 2010
Polis menganggap kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya serta tiga yang lain, selesai dan semua suspek dijangka didakwa minggu depan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, berkata polis kini pada peringkat akhir mengumpul maklumat dan bukti sebelum mengemukakan kertas siasatan kepada Pejabat Peguam Negara untuk menentukan pertuduhan terhadap lapan suspek termasuk seorang peguam bergelar Datuk yang ditahan setakat ini.
Sambil memuji Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) yang diketuai Pengarahnya, Datuk Mohd Bakri Zinin dan Timbalan JSJ, Datuk Hadi Ho Abdullah atas kejayaan pasukan itu menyelesaikan kes berkenaan dalam tempoh yang cepat, Ismail bagaimanapun berkata, ini bukan bermakna siasatan sudah dihentikan.
Polis kini sedang memburu seorang pemuda berusia 19 tahun yang dikatakan bertanggungjawab mengerat mayat Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain sebelum mereka dibakar.
Sumber berkata, suspek itu juga dikatakan terbabit dalam pembunuhan seorang wanita bernama T Selvi, 44, yang juga isteri kepada pemilik bengkel di hadapan rumahnya, tahun lalu. Mangsa dikatakan dibunuh selepas berselisih faham berhubung pinjaman sejumlah wang dengan suspek utama, seorang peguam bergelar Datuk.
17 September 2010
Profil asid deoksiribonukleik (DNA) dan keterangan mengikut keadaan boleh menyabitkan suspek dalam kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, walaupun mayat mangsa pembunuhan tidak ditemui untuk dijadikan sebagai bahan bukti dalam pendakwaan.
Bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia, Datuk Kuthubul Zaman Bukhari, berkata pendakwaan boleh dilakukan berdasarkan bahan bukti memadai dan keterangan dikumpul polis atau pihak pendakwa mewujudkan prima facie dalam kes jenayah termasuk bunuh.
Jabatan Kimia berdepan kesukaran dalam menentu dan mengenal pasti profil asid deoksiribonukleik (DNA) serpihan tulang yang dipercayai milik mangsa pembunuhan kejam, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain berikutan keadaan tulang yang terbakar teruk berikutan suhu pembakaran terlalu tinggi.
Bagi mendapatkan keputusan ujian, Jabatan Kimia dijangka mengambil masa seminggu kerana terpaksa mengeluarkan kalsium yang masih terkandung dalam tulang berkenaan terlebih dulu.
18 September 2010
Polis buat pertama kali semalam mendedahkan cara pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya yang diikat, sebelum dipukul dan ditikam berkali-kali hingga mati sebelum mayat mereka dibakar.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin pada sidang medianya, berkata abu mayat semua mangsa kemudian dibuang ke beberapa sungai sekitar Tanjung Sepat, Morib di Banting bersama barang peribadi mangsa untuk menghapuskan bukti.
Beliau berkata, pengakuan itu dibuat oleh empat pekerja ladang persendirian milik seorang peguam dan ahli perniagaan yang mendakwa dirinya ‘Datuk’ yang kini menjadi suspek utama pembunuhan kejam yang dirancang rapi itu.
Kronologi dipetik daripada
http://myberita.com/2010/09/gambar-kronologi-kes-pembunuhan-datuk-sosilawati-lawiya.html
p/s Pelajar-pelajar 4 Awam 2 mengutuk tindakan suspek membunuh kesemua mangsa dengan kejam tanpa rasa belas kasihan. Kami berharap supaya suspek utama tidak dibebaskan dan diberi hukuman yang setimpal dengan perbuatannya. Teringat kes pembunuhan yang dilakukan oleh Mona Fandey yang pernah menggemparkan negara suatu ketika dahulu.